Sign In
portfolio web templates
Manage PermissionsManage Permissions

Mohon perlindungan keselamatan pengguna jalan raya

04/03/2021
http://www.mkkjr.gov.bn/Images1/news/2021/March/WhatsApp%20Image%202021-03-05%20at%202.16.04%20PM.jpeg

Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) petang tadi mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Membaca Ratib Al-Attas dan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah bertempat di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), di sini.

Hadir pada majlis tersebut, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof selaku Pengerusi MKKJR.

Turut hadir, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Ahli-ahli MKKJR, Ketua-ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan jabatan-jabatan di bawahnya serta Pihak-pihak Berkuasa yang berkenaan.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat, diikuti dengan bacaan Ratib Al-Attas dan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah yang diketuai oleh Imam Surau LTAB, Awang Haji Mohd. Asyhraf bin Haji Bujang.

Antara tujuan majlis diadakan ialah bagi memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar Negara Brunei Darussalam sentiasa diberikan perlindungan dan terhindar daripada bala serta segala penyakit, khasnya wabak COVID-19, di samping memohon keselamatan bagi semua pengguna jalan raya agar terpelihara dari sebarang kemalangan.

Selain itu, ia juga merupakan salah satu usaha berterusan MKKJR untuk memohon berkat dalam segala usaha dan perancangannya ke arah meningkatkan keselamatan jalan raya demi kesejahteraan semua.

Majlis diadakan dengan mengambil langkah-langkah kawalan penularan wabak COVID-19 yang masih dikuatkuasakan mengikut nasihat dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Dalam kesempatan ini, MKKJR terus menyeru kepada semua pengguna jalan raya untuk sentiasa memulakan setiap perjalanan dengan doa, di samping meningkatkan kewaspadaan.

Pemandu-pemandu juga terus diseru untuk sentiasa mementingkan keselamatan dengan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik umpamanya brek, tayar, lampu dan sebagainya serta mengamalkan pemakaian tali pinggang keledar, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan untuk sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan serta tanda-tanda isyarat lalu lintas yang dipamerkan.

Para pemandu juga diingatkan untuk merancang perjalanan mereka dan jika berasa letih, mengantuk atau tidak tenteram, tangguhkan perjalanan. Jangan terburu-buru (bergagas) di jalan raya, terutama jika terlambat, kerana yang penting kita tiba ke destinasi dengan selamat. Semoga dengan langkah-langkah keselamatan ini, kita akan lebih bersedia untuk menempuh perjalanan.


Sumber berita Pelita Brunei
Attachments