Sign In
portfolio web templates
Manage PermissionsManage Permissions

Majlis Membaca Surah Yaasin dan Tahlil Senegara Sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya 2020

03/12/2020
image

Khamis, 3 Disember 2020 bersamaan 17 Rabiulakhir 1442H – Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yaasin dan Tahlil Senegara Sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2020 hari ini.


Majlis ini diadakan dengan tujuan bagi memohon keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala untuk keselamatan negara ini, terutamanya pengguna-pengguna jalan raya agar sentiasa diberikan perlindungan dari kemalangan dan perkara-perkara yang tidak diingini.


Majlis ini adalah sebahagian dari acara yang dirancang bagi menyambut Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas 2020, diadakan senegara iaitu di ke-empat daerah pada petang ini.  Hadir di Daerah Brunei Muara, bertempat di Masjid Ash Shaliheen, ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib Bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Ahli-Ahli MKKJR.


Majlis juga turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi,  Ketua-Ketua Eksekutif, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta Jabatan-Jabatan di bawahnya dan Pihak-pihak Berkuasa. Turut hadir daripada Persatuan Motorsikal Darussalam (PEMODA), Pengusaha-Pengusaha Teksi, dan wakil dari Sekolah-Sekolah Memandu.



Majlis tersebut dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah diikuti dengan Sembahyang Hajat, Bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa. Majlis diteruskan dengan Sembahyang Fardhu Isya’ berjemaah yang diimamkan oleh Yang Mulia Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, Pegawai Hal Ehwal Masjid.

 

Majlis yang sama juga turut diadakan di Daerah Belait, bertempat di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait, dan turut dihadiri oleh Awang Ramlee bin Haji Jamudin, Pegawai Daerah Belait, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin serta ketua-ketua kampung. Sementara itu, bagi Daerah Tutong dihadiri oleh Md Amirul Hadi bin Haji Md Tajudin, Pemangku Pegawai Daerah Tutong dan telah diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong. Manakala bagi Daerah Temburong telah diadakan di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, dan turut dihadiri oleh Yang Mulia Pengiran Muhammad Ameer Mubarak bin Pengiran Haji Hashim, Pemangku Pegawai Daerah Temburong dan Yang Berhormat Haji Awang Emran bin Haji Sabtu.




Dalam kesempatan ini, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam menyeru kepada semua pengguna jalan raya supaya meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika berada di jalan raya, dan sentiasa mengamalkan sikap memandu yang berhemah. MKKJR juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan keselamatan jalan raya terjaga, ini termasuk dari perancangan, penyediaan dasar, penguatkuasaan, petugas kecemasan, NGO-NGO dan juga orang ramai. Semua pengguna jalan raya sama-sama mempunyai tanggungjawab dan memainkan peranan dalam menjaga diri kita sendiri dan orang di sekeliling termasuk harta benda. Sikap dan budaya mengutamakan keselamatan jalan raya akan membantu kita mengelakkan dari berlakunya kemalangan dan adalah penting bagi keselamatan semua.



Disediakan oleh:
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Brunei Darussalam

Attachments