Sign In
portfolio web templates
Manage PermissionsManage Permissions

Majlis Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2020 (World Day of Remembrance for Road Traffic Victims 2020 – WDR 2020)

28/11/2020
http://www.mkkjr.gov.bn/Images1/news/2020/November/WhatsApp%20Image%202020-11-28%20at%209.40.37%20PM.jpeg

Sabtu, 28 November 2020 bersamaan 12 Rabiulakhir 1442H – Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia (World Day of Remembrance for Road Traffic Victims – WDR) merupakan inisiatif antarabangsa yang disambut pada setiap hari Ahad di minggu ketiga bulan November setiap tahun. Inisiatif ini bertujuan untuk memperingati mangsa-mangsa lalu lintas jalan raya serta keluarga mereka yang turut terkesan akibat kemalangan jalan raya.  Selain itu, inisiatif ini juga memberikan peluang untuk menggariskan peranan pelbagai pihak yang terlibat seperti perkhidmatan perubatan dan kecemasan, penyelamat, sektor swasta, penyelidik dan akademia, serta masyarakat umum dalam menangani kesan dan akibat dari kemalangan jalan raya. 

Pada tahun ini, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam menyambut Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2020 bertempat di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. Walaupun acara pada tahun ini dilaksanakan sebahagiannya dengan penyertaan secara maya (virtual) sebagai norma baru dalam suasana mengekang penularan wabak Covid-19, liputan sambutan masih tetap dilaksanakan secara teratur dan berkesan.




Di majlis tersebut, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Ambassador At-Large, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan selaku Penaung Diraja Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya, dalam Sabda Khas melalui tayangan video menyentuh mengenai ‘Global Status Report on Road Safety 2018’ yang dikeluarkan oleh World Health Organisation, dengan jumlah tahunan kematian lalulintas jalan raya telah mencapai 1.35 juta orang, kecederaan jalan raya kini menjadi pembunuh utama bagi umur lingkungan 5 hingga 29 tahun. Negara Brunei Darussalam menunjukkan penurunan dalam Statistik Menyeluruh Kemalangan Jalan Raya 2011 – 2019 dari 3,598 kes kepada 1,196 kes manakala kes kematian menurun daripada 47 kes kepada 13 kes. Untuk itu, Yang Teramat Mulia Penaung Diraja turut megalu-alukan Pelan Strategik iaitu “The Brunei Darussalam Road Safety Strategic Plan 2025” yang sedang dalam penyediaan bagi memperkukuhkan kesinambungan komitment dalam menangani isu keselamatan jalan raya secara lebih teratur dan terarah.
 

 
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi yang juga Pengerusi MKKJR dalam Ucapannya menyentuh mengenai empat (4) perkembangan utama yang merangkumi antaralainnya mengenai:-

i) Aplikasi mudah alih TransportBN ataupun TransportBN Mobile Apps yang semenjak diperkenalkan pada bulan September 2019 tahun lepas menunjukkan statistik, sejumlah 41,600 pendaftaran bagi aplikasi ini telah dimuat turun melalui telefon pintar, telefon bimbit (smart phones) pengguna masing-masing sehingga 21 November 2020. Perkembangan ini sedikit sebanyak memberikan gambaran penggunaan perkhidmatanperkhidmatan pengangkutan darat khusunya antara lainnya secara atas talian yang semakin meningkat dan berpotensi untuk peningkatan seterusnya, Inshaa Allah. Walaubagaimanapun, Perkhidmatan secara biasa melalui kaunter masih turut ditawarkan bagi keselesaan dan kemudahan mereka yang kurang celik IT.

ii) MKKJR dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Pengangkutan iaitu CfTR, yang berpusat di Universiti Teknologi Brunei (UTB) juga telah berjaya membina sebuah sistem database bernama RADED atau 'Road Accident Data Development and Enhancement' yang berfungsi untuk mengumpul butir-butir kemalangan yang terjadi di Negara Brunei Darussalam .  Pihak-pihak yang berkepentingan boleh mendapat ‘akses’ kepada sistem RADED ini secara ‘real-time’. Dan dengan demikian, maklumat dapat dikemaskini dengan segera, tepat dan berselaras. Sistem ini merupakan hasil reka  graduan-graduan tempatan Brunei sendiri dari Universiti Teknologi Brunei dan diharapkan akan turut menyumbang kepada penyediaan bagi memperolehi peluang-peluang pekerjaan tempatan.  

iii) Mengenai isu kenderaan terbakar pula, Yang Berhormat menyentuh mengenai statistik sehingga 19 Nobember 2020 yang menunjukkan statistik kenderaan terbakar telah mencatatkan 78 kes yang melibatkan sebanyak 83 buah kenderaan; berbanding dengan 80 kes yang melibatkan 84 kenderaan pada bulan November 2019 tahun lepas.  Yang Berhormat turut menyarankan supaya kerjasama padu secara berterusan diantara agensi-agensi yang berkenaan akan dapat sama-sama berhasil menangani dan mengurangkan kes-kes kenderaan terbakar in melalui kajian-kajian yang terperinci dan mendalam.

iv) Akhir sekali, Yang Berhormat mengongsikan bagi memantapkan lagi pengurusan dan pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang dirancang secara sistematik, terarah dan rapi, MKKJR telah mengorak langkah dengan menggantikan Blueprint Decade of Action For Road Safety 2011 hingga 2020 kepada satu deraf The Brunei Darussalam Road Safety Strategic Plan 2025, yang kini sedang dalam pengemaskinian. 

Majlis Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2020 dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Abdul Razak bin Samat, Imam Tingkat I, Masjid Mohd Bolkiah Kg Serusop, diikuti dengan Ucapan Alu-aluan dari Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abd Razak, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) selaku Setiausaha MKKJR.  Majlis diteruskan dengan Ucapan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya. 



Majlis turut menyaksikan video perutusan dari Madam Armida Salsiah Alisjahbana, Setiausaha Eksekutif, United Nations Economic and Social Commision for Asia and the Pacific (UNESCAP). Majlis di teruskan dengan menyaksikan beberapa video keselamatan jalan raya dari ASEAN, Pemenang-Pemenang Pertandingan Video Keselamatan Jalan Raya serta pihak Brunei Automobile Traders Association (BATA). Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil lantikan kepada Ketua Road Safety Champions yang akan membantu memberigakan dan membudayakan aspek keselamatan jalan raya dari semua sector termasuk sektor awam, sektor swasta dan sektor Non Governmental Organizations (NGOs).





Turut hadir di majlis tersebut ialah Ahli-ahli Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Pengarah-Pengarah, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Jabatan-Jabatan di bawahnya serta Pihak-Pihak Berkuasa.

Antara pengisian sambutan Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia (World Day of Remembrance for Road Traffic Victims – WDR) pada tahun ini termasuk Khutbah Jumaat khusus mengenai WDR, Road Safety Awareness Talk kepada Road Safety Champions, Membaca Surah Yaasin dan Tahlil Senegara serta lain-lain aktiviti. 

Dalam kesempatan ini, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam menyeru kepada semua pengguna jalan raya supaya meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika berada di jalan raya, dan sentiasa mengamalkan sikap memandu yang berhemah. MKKJR juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang  terlibat dalam memastikan keselamatan jalan raya terjaga, ini termasuk dari perancangan, penyediaan dasar, penguatkuasaan, petugas kecemasan, NGO-NGO dan juga orang ramai. Semua pengguna jalan raya sama-sama mempunyai tanggungjawab dan memainkan peranan dalam menjaga diri kita sendiri dan orang di sekeliling termasuk harta benda. Sikap dan budaya mengutamakan keselamatan jalan raya akan membantu kita mengelakkan dari berlakunya kemalangan dan adalah penting bagi keselamatan semua. 

Majlis ini telah diadakan dengan mengambil langkah-langkah kawalan penularan wabak COVID-19 yang masih dikuatkuasakan mengikut nasihat dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.


Disediakan oleh: 
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi,
Brunei Darussalam
Attachments