Sign In
portfolio web templates
Manage PermissionsManage Permissions

Patuhi peraturan, undang-undang jalan raya

12/07/2021

Sebanyak 914 kes memandu lebih had laju yang ditetapkan (speeding) dan 331 kes menggunakan telefon bimbit semasa memandu direkodkan sebagai kesalahan-kesalahan lalu lintas yang sering dilakukan di negara ini dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2021.


Selain itu, kesalahan-kesalahan lain termasuklah kenderaan yang dipasang cermin atau plastik gelap atau tirai yang tiada kebenaran semasa kenderaan dipandu di jalan raya sebanyak 1,534 kes; meletak kenderaan bukan di tempat yang dikhaskan, 1,193 kes; mengubah suai kenderaan daripada spek asal, 1,042 kes dan tidak memakai tali pinggang keselamatan semasa memandu sebanyak 548 kes.

Manakala sebanyak 394 kes direkodkan bagi kesalahan Lesen Memandu mansuh; 292 kes bagi tayar nampak benang; 266 kes memasang pelekat (sun X) atau ‘tinted film’ dan 254 kes kerana kesalahan tidak memiliki Lesen Memandu.

Statistik dari Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) tersebut dikongsikan oleh Penguasa Kanan Polis, Pengiran Haji Abdul Salam bin Pengiran Haji Abdul Ghani selaku Pemangku Pengarah JSKLL pada Sidang Media Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) yang berlangsung di bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC).

Sidang Media dihadiri oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), MTIC, Haji Mohd Salihin bin Haji Aspar, selaku Setiausaha MKKJR dan Pengarah Pengangkutan Darat, Haji Rozaly bin Haji Saidon, selaku Ketua Urusetia MKKJR.

Terdahulu, Setiausaha MKKJR mengongsikan, setakat ini, sebanyak 478 operasi sekatan jalan raya secara statik dan lapan operasi sepadu bersama agensi-agensi lain telah dijalankan, di mana sejumlah 9,042 kesalahan lalu lintas telah direkodkan.

Sidang Media tersebut bertujuan untuk mengongsikan statistik atau perangkaan berkaitan kesalahan lalu lintas jalan raya di Negara Brunei Darussalam dan juga kompaun hasil daripada pemantauan dan operasi-operasi penguatkuasaan peraturan dan undang-undang jalan raya yang dijalankan oleh JSKLL, dan Jabatan Pengangkutan Darat sepanjang tempoh setengah tahun, iaitu Januari hingga Jun 2021.

Turut dikongsikan, kesalahan-kesalahan melibatkan kenderaan berat atau Perkhidmatan Awam di mana sejumlah 345 kes dan 494 kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan seperti membawa lebih muatan, ‘speeding’, memandu kenderaan yang tidak layak dari keselamatan dan sebagainya, termasuk 21 kes yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Berdasarkan statistik dan perangkaan yang dikongsikan menunjukkan pelbagai kesalahan lalu lintas jalan raya yang sering dilakukan oleh pengguna-pengguna jalan raya di negara ini.

“Pihak MKKJR melalui agensi-agensi penguatkuasaan peraturan dan undang-undang jalan raya sekali lagi menekankan kepentingan bagi semua pengguna jalan raya khususnya para pemandu dan pengguna untuk sentiasa meningkatkan kewaspadaan dan sentiasa bertanggungjawab dalam sama-sama meningkatkan keselamatan jalan raya,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Urusetia MKKJR pula menyeru agar semua pengguna jalan raya mengamalkan sikap berhemah, bertolak ansur dan saling ingat-mengingati, mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya dan sentiasa memeriksa kenderaan supaya berkeadaan baik dan selamat untuk dipandu.

Di kesempatan ini, MKKJR mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk melaporkan atau mengongsikan sebarang maklumat berkaitan keselamatan jalan raya, bagi membantu pihak MKKJR mengambil tindakan segera demi mengelakkan kemalangan daripada berlaku.


Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto
Attachments