Sign In
portfolio web templates
Manage PermissionsManage Permissions

Taklimat Pengenalan Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia (World Day of Remembrance for Road Traffic Victims WDR 2020)

30/11/2020
image
Isnin, 30 November 2020 bersamaan 14 Rabiulakhir 1442H – Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia (World Day of Remembrance for Road Traffic Victims – WDR) merupakan inisiatif antarabangsa yang disambut pada setiap hari Ahad di minggu ketiga bulan November setiap tahun. Inisiatif ini bertujuan untuk memperingati mangsa-mangsa lalu lintas jalan raya serta keluarga mereka yang turut terkesan akibat kemalangan jalan raya. Selain itu, inisiatif ini juga memberikan peluang untuk menggariskan peranan pelbagai pihak yang terlibat seperti perkhidmatan perubatan dan kecemasan, penyelamat, sektor swasta, penyelidik dan akademia, serta masyarakat umum dalam menangani kesan dan akibat dari kemalangan jalan raya.

Sebagai salah satu aktiviti-aktiviti yang dirancang tahun ini bagi menyambut Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2020, satu sesi Taklimat Pengenalan Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya diadakan bertempat di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi kepada Road Safety Champions yang telah dilantik semasa Majlis Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2020 pada 28 November 2020 yang lalu.



Taklimat Pengenalan Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya ini melibatkan 100 Road Safety Champions dari sektor awam 100 orang Road Safety Champions dari sektor swasta dan setelah mendengarkan taklimat, mereka akan menolong memberi taklimat keselamatan jalan raya kepada Kementerian, Jabatan atau Syarikat masing-masing iaitu 13 buah Kementerian dan Jabatan-Jabatan Serta Pihak-Pihak Berkuasa dibawah dan Pihak Swasta yang terpilih dan yang terdiri dari firma-firma, syarikat-syarikat dan Persatuan-Persatuan. Sasaran jumlah yang menerima taklimat pada seluruh tahun 2021 adalah seramai 10,000 orang penjawat awam di sector awam dan juga seramai 10,000 orang di sektor swasta. Antara isi kandungan taklimat ialah Perangkaan Kemalangan, Etikat Pemanduan dan Perundangan (Mata Demerit). Sesi Taklimat diadakan dua kali iaitu sesi pagi dan sesi petang.

Dalam kesempatan ini, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam menyeru kepada semua pengguna jalan raya supaya meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika berada di jalan raya, dan sentiasa mengamalkan sikap memandu yang berhemah. MKKJR juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan keselamatan jalan raya terjaga, ini termasuk dari perancangan, penyediaan dasar, penguatkuasaan, petugas kecemasan, NGO-NGO dan juga orang ramai. Semua pengguna jalan raya sama-sama mempunyai tanggungjawab dan memainkan peranan dalam menjaga diri kita sendiri dan orang di sekeliling termasuk harta benda. Sikap dan budaya mengutamakan keselamatan jalan raya akan membantu kita mengelakkan dari berlakunya kemalangan dan adalah penting bagi keselamatan semua.


Disediakan oleh:
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Brunei Darussalam


Attachments